web 2.0

Thursday, June 17, 2010

Ke manakah Ustaz dan golongan Intelektual menghilang ?

CareerChoice.jpg (375×525)


Segala puji dan syukur hanyalah milik Allah S.W.T serta Selawat dan Salam Rindu kepada Kekasih Allah dan Kekasih kita seterusnya ahli keluarga Baginda dan para Sahabat Baginda keseluruhannya.

Sudah lama jari-jemari ini tidak menari di papan kekunci komputer ini bagi melakarkan serba-sedikit apa yang ingin dikongsi bersama kerana kesempitan peluang dalam penggunaan internet. Jutaan terima kasih kepada ahli keluarga dan sahabat yang tidak pernah jemu memberi dorongan dan semangat dalam meneruskan perjuangan ini. Semoga kalian dari kalangan hamba yang dikasihi Allah S.W.T dan mendapat perhatian Rasulullah S.A.W ketika memberi syafaat kelak insyaAllah.

Dewasa kini, masyarakat kita di Malaysia sentiasa dihujani dengan masalah sosial yang sangat membimbangkan. Namun begitu, masih ramai dari kalangan mereka yang ada pengetahuan agama sibuk dengan masalah yang telah dijawab oleh Ulama yang lalu seperti isu Bid’ah, ayat mutasyabihat (kesamaran) dalam Al-Qur’an dan Hadis, dan sebagainya, sehinggakan mengabaikan masalah yang lebih besar iaitu pepecahan dan penyakit berjangkit dalam masyarakat kita.

Pernah satu ketika dahulu, seorang Muslim berjumpa dan ajak Saidina Abdullah bin Umar bin Al-Khatab R.A berbincang mengenai masalah nyamuk ketika sembahyang. Lalu dengan lantang Saidina Abdullah bin Umar bin Al-Khatab R.A menjawab, “Adakah kamu lebih sibuk dengan masalah kecil ini berbanding dengan masalah Saidina Hussein R.A cucu Rasulullah S.A.W dipancung kepala di Karbala????!!!”

Kita perhatikan ramai orang sangat pandai berkata-kata dan berpidato bahkan berbicara mengenai agama tetapi apa yang menyedihkan, mereka hanya sekadar bercakap sahaja tetapi tidak dibuktikan melalui zahir perbuatan. Mereka selalu melaungkan kalimah Perjuangan, Penyucian Jiwa, Penyampaian Ilmu, Taat, tetapi pada hakikatnya mereka tidak membantu dalam mengerakkan Jemaah bagi mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran serta membangunkan kembali Daulah Islamiah. Dimanakah mereka yang mengaku sebagai golongan intelektual, profesional, ahli agama, dan sebagainya? Adakah dengan alasan “Politik adalah Kotor” maka mereka ambil keputusan untuk mengasingkan diri dari Jemaah?

Apa yang dapat saya perhatikan dan didengarkan pelbagai berita, saya sebenarnya agak terkilan dan sedih dengan sikap sebilangan besar orang yang mengaji agama sehinggakan ada dari kalangan mereka sanggup belajar jauh dari kampung halaman, setelah tamat pengajian dan pulang ke tanah air didapati mereka hanya ambil kesempatan mengajar di sekolah atau terlibat mana-mana kerjaya dan diamkan diri dari bergiat aktif dalam gerakan Jemaah Islam. Apakah kamu tidak takut dengan azab Allah akibat dari pengkhianatan kamu terhadap amanah yang Allah beri kepada kamu? Apakah kamu tidak sedar apakah tanggungjawab kamu dengan ilmu yang kamu pelajari?

Saya di sini bukanlah hendak menyalahkan kepada mereka yang mengajar di sekolah, berniaga, atau terlibat dalam mana-mana kerjaya, apa yang mahu ditekankan, apakah jasa yang telah kamu buat untuk Islam? Saya yakin bahawa kita semua tahu masalah yang menimpa ke atas masyarakat kita. Janganlah kamu menjadikan sibuk dengan kerjaya menyebabkan kamu mengabaikan tanggungjawab kamu. Teruskan dengan usaha kamu dalam kerjaya tetapi jangan abaikan amanah yang kamu pikul.

“Bukan apa sebenarnya. Saya sibuk dengan kerja saya sehingga tidak cukup masa untuk meluangkan masa kepada yang lain. Maaf, awak boleh cari orang lain. Ramai lagi boleh tolong….”

“Maaflah. Saya guru sekolah di sini. Jadi, saya terikat dengan peraturan dan etika. Saya tidak boleh terlibat dengan kerja-kerja lain sebab akan dibuang kerja….”

“Ingat, kamu masih belajar! Jangan terlibat sama sekali dengan aktiviti-aktiviti luar. Habis belajar dulu baru boleh terlibat …”

Inilah merupakan satu kefahaman yang salah dan telah dipegang oleh sebahagian besar oleh masyarakat kita hari ini. Adakah tugas dakwah hanyalah tugas para Ulama sahaja? Sangatlah malanglah seseorang itu bagi berpegang dengan pendapat ini kerana telah mengabaikan tanggungjawab mereka. Ada benarnya jawapan Jamaluddin al Afghani sewaktu ditanya mengapakah Barat (Kristian) mengecapi kemegahan sedangkan umat Islam hidup dalam kehinaan:

“Kerana umat Islam telah meninggalkan ajaran-ajaran al Quran dan orang Kristian pula telah meninggalkan ajaran Kristian.”

Sedarlah kamu wahai Ustaz dan orang berpelajaran lain yang telah pulang ke tanah air. Masyarakat sangat memerlukan kamu. Jatuh bangun sebuah umat bergantung kepada gerakan yang dilakukan oleh Ulama. Jangan menyembunyikan kebenaran sekalipun kamu dikelilingi dengan ribuan bom penghancur. Allah sentiasa bersama dengan orang yang benar lagi bersabar.

Sekalipun zaman nubuwwah telah berakhir dengan pengutusan nabi Muhammad SAW, namun tugas untuk meneruskan usaha dakwah ini masih belum tamat dan tidak akan tamat selama-lamanya. Di dalam hal ini, para nabi yang akan menjadi contoh kita semua. Al-Imam al-Ghazali rahimahullah di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin (jilid pertama) menyebut:

Ulama ialah garam Allah di bumiNya.”

Daging dan ikan dapat diselamatkan daripada berbau busuk dan rosak setelah diserapkan dengan garam. Apa kata jika garam itu sendiri tidak masin? Sudah tentu tidak ada lagi yang dapat menghalang daging itu busuk.

Wallaahu a’lam.

0 komen...?: