web 2.0

Wednesday, July 7, 2010

Pastikan Perancangan Kamu untuk Nafas yang Panjang


Segala Kepujian dan Kesempurnaan hanyalah milik Allah semata-mata. Selawat dan Salam ke atas Kekasih Allah dan juga Kekasih kita iaitu Nabi Muhammad sebaik-baik makhluk, seterusnya ahli Keluarga Baginda yang suci, dan juga para Sahabat Baginda keseluruhannya.

Sabda Rasulullah saw :

Maksudnya : Dari Abi Abdullah Khabbab bin Al-Arat r.a telah berkata : Kami telah mengadu kepada Rasulullah saw sedang Rasulullah SAW pada waktu berbaring di bawah naungan Kaabah berbantalkan serban . Maka kami bertanya : Apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita ? Adakah tidak Tuan berdoa bagi pihak kita ?

Maka berkata Rasulullah SAW : Sesungguhnya orang - orang sebelum kamu , ditangkap seorang lelaki lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya, kemudian dibawa datang gergaji lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruhkan daging dan tulangnya , namun demikian itu tidak memalingkan ia dari agamanya.

Demi Allah . Nescaya Allah menyempurnakan urusan ini ( agama Islam ) sehinggalah musafir dari Sana'a ke Hadhra Maut tidak lagi takut melainkan hanya kepada Allah , akan tetapi kamu adalah golongan yang gopoh .

-Sahih Al-Imam Al-Bukhari

“Hafiz, kenapa awak masam jer muka? Ada masalah ker?” Tegur Ustaz setelah seusai solat Asar berjemaah.

“Ustaz, saya nak tanya sedikit. Boleh?” Balas Alias kepada Ustaz Alias dengan pertanyaan.

“Lain macam jer nada awak. Kenapa? Awak ada masalah ker?”

“Macam ni. Saya sebenarnya tidak berapa setuju dengan program yang dirancang dalam mesyuarat pemuda tadi.”

“Mesyuarat tadi? Kenapa? Beritahulah. InsyaAllah, menyuarat seterusnya akan datang, kita akan buka semula perbincangan pasal ni.”

“Macam ni. Saya tengok dan perhatikan segala perancangan tadi seperti Kem Tarbawiyyah, mempelbagaikan gerakan Usrah, dan macam-macam lagi, langsung tidak mampu meningkatkan bilangan pengundi kita apabila pilihanraya akan datang. Bukan itu sahaja, melambatkan kemenangan kita ada lah. Apa kata, dengan kewangan yang seberapa ada, kita kurangkan program-program ni dan kita gantikan dengan memperbanyakkan ceramah umum di kawasan kita. Kita jemputlah penceramah-penceramah yang hebat dan berpengaruh. Amacam?”

“Hafiz… Hafiz… Saya berpendapat, awak ni gaduh dan tergesa-gesa dalam perjuangan.”

“Bukan apa Ustaz. Saya tak tahan dah tengok dia orang ni, merampas hak rakyat. Lepas tu bermegah pulak depan kita dengan kekayaan dia tu. Lepas tu, bahagi duit dan hadiah kepada orang yang sokong dia saja. Ustaz, bila kita dah dapat kuasa sesingkat masa yang mungkin, maka kita boleh lah buat macam-macam yang Islamik dengan lebih baik seperti ceramah, apa-apa program, dan macam-macam la.”

“Hafiz, walaupun dia tamak, kita kena bersabar dan halus dalam gerakan. Dalam gerakan pun ada rentaknya jugak.”

“Saya nampak pemikiran Ustaz masih di minda pembangkang. Bukan di minda pemerintah. Bukankah dengan kuasa maka kita boleh buat apa yang dirancang?”

“He.. he.. Saya sudah jangka awak akan cakap begitu.” Ustaz Alias jawab dengan senyum sinis.

“Kalau saya silap, perbetulkanlah Ustaz.”

“Awak ingat tak lagi mengenai Hadis yang diriwayatkan oleh Khabab Al-Arat di mana dia meminta Nabi doakan kemenangan. Lalu Nabi tegur bahawa Sahabat tersebut gopoh dalam perjuangan. Awak ingat tak lagi hadis ni? Awak tahu siapakah Khabbab Al-Arat? Dan bagaimana dia boleh tanya macam tu?”

“Hadis ni saya ingat lagi. Tapi, tak tahulah siapa Khabbab Al-Arat….”

“Ketika itu, Nabi SAW di saat berhadapan dengan keadaan yang sangat kritikal. Bahkan para sahabat RHM sering di seksa dengan dahsyat oleh kuffar musyrikin.

Antara mereka ialah Khabbab Al-Arat yang disalai oleh musyrikin di atas bara api dan dikelar jasadnya dengan besi panas sehingga masak dan luluh daging jasadnya. Kesan penyiksaan tersebut meninggalkan parut yang sangat hodoh pada diri Khabab. Suatu ketika Khabbab RA inilah yang pergi bertemu Nabi SAW yang sedang beristirehat di tepi Kaabah lantas bertanya: Apakah Tuan tidak berdoa kepada Allah agar kita menang?

Ketahuilah, dia adalah insan yang berjuang malah menghadapi penyeksaan dahsyat oleh musuh dengan begitu tabah sekali. Yang bertanya ialah sahabat yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk pertahankan prinsip dan pegangan agama. Insan yang bertanya ialah sahabat yang telah mewaqafkan dirinya untuk Islam dan perjuangan suci ini. Tiba - tiba …

Nabi SAW menjawab bahawa orang terdahulu lebih teruk menerima penyiksaan dari musuh-musuh Allah SWT sehingga ada yang digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan jasadnya disikat dengan sikat besi sehingga bercerai daging dari tulangnya namun mereka tetap mempertahankan agamanya.

Jadi, awak yang mahukan kemenangan dalam masa yang singkat, biarpun awak sangat perit berhadapan dengan kezaliman musuh, awak adalah begitu tergesa-gesa dan tidak sabar menanti kemenangan yang dijanjikan Allah SWT.

Kemenangan adalah suatu yang dianugerah oleh Allah SWT. Ianya ( kemenangan ) tidak boleh dicipta oleh kita dengan maksud tiada kemenangan buatan kita selain ia anugerah Allah SWT dan tiada short-cut untuk mencapai kemenangan. Demikianlah sunnatullah terhadap kemenangan atau nusrah yang dijanjikan buat mereka.

Pengertian yang paling mudah, jangan memetik buah yang belum masak.

Kita juga boleh ambil ikhtibar dari situasi seekor anak ayam yang masih berada di dalam cengkeram telur sebelum ia dilahirkan ke bumi yang ganas ini .

Anak ayam di dalam cengkerang telur tersebut, mahu tidak mahu ia terpaksa menunggu satu tempoh matang ia menetas dan akhirnya hidup untuk membesar seperti ayam yang lain. Andai kata anak ayam ini tidak sabar untuk menetas demi melihat alam yang indah ini lalu ia cuba untuk memecahkan cengkerang telur dari dalam dengan paruhnya yang masih muda , nescaya usahanya itu gagal dan sia - sia.

Sikap tidak sabar ibunya juga boleh membawa padah sekiranya tidak sabar ingin melihat anak kesayangannya lahir atau menetas lalu ia memecahkan cengkerang telur itu dengan paruhnya yang kuat, maka keluarlah anaknya tetapi tidak mampu bertahan lama kerana belum masanya yang matang bagi ia hidup . Anak ayam itu pasti akan mati binasa angkara sikap gopoh ibunya. Jelas?”

“Terima kasih banyak dengan penerangan yang panjang. Saya masih ingat kata-kata naqib saya dahulu, Jangan sekali - kali kita menerobos keluar dari landasan sunnatullah ini kerana tidak sabar hendak menang dengan hanya kita melihat riak-riak kemenangan yang tidak pasti tetapi sarat dengan janji - janji manis kemenangan kononnya. Betul tak?”

“Ya, betul. Kita juga perlu menilai tentang kemenangan yang dikejar. Kemenangan itu untuk Islam ke? Bersediakah kita untuk kemenangan? Bagaimana mencapai kemenangan, ikut syara’ Islam ke?

“Terima kasih banyak-banyak. Apa nasihat untuk saya sebagai orang yang baru dalam arena dakwah Ustaz?”

“Nasihat saya, Pastikan Perancangan Kamu untuk Nafas yang Panjang…”

0 komen...?: